Kelas e-Dagang anjuran SITEC yang diadakan tentang proses pengurusan produk merupakan kelas e-Dagang Bahasa Malaysia yang ke-tiga untuk 2017. Sebanyak 48 peserta telah menghadiri kelas ini.

Jurulatih Fatin Fadila telah menjelaskan apa itu proses pengurusan produk, dan menerangkan juga bahawa perspektif penjual, yang merangkumi Produk, Harga, Lokasi, dan Promosi, berkait rapat dengan perspektif pembeli, yang merangkumi Pembeli, Kos, Komunikasi, serta kesenangan mereka sendiri.

Kaitan ini merupakan salah satu ilmu penting untuk berjaya dalam e-Dagang, menurut beliau.

Topik-topik seperti cara promosi, pemilihan menjual melalui e-pasaran ataupun laman sesawang sendiri, serta penggunaan Facebook dan Google SEO dalam meningkatkan trafik juga diterangkan secara ringkas, dan kepentingan setiap topik kepada pengurusan produk juga dijelaskan, di mana pengurusan produk merupakan tulang belakang suatu perniagaan, dan tidak asing daripada pengurusan perniagaan tersebut.

Alex Teoh, ketua operasi komersial Hubwire, telah berkongsi ilmu tentang amalan terbaik ketika mengambil gambar produk, serta memberi keterangan tentang pemasaran secara omnichannel, seperti kepentingan mengenalpasti pasaran sasaran dan mengekalkan rangkaian bekalan. Teoh juga menasihatkan hadirin untuk menggunakan kata kunci yang betul dan padan dengan produk mereka, dan untuk membina SEO secara organik.

Selain itu, Teoh juga telah memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Hubwire, yang termasuk pengurusan akaun, perkhidmatan pergudangan dan logistik, pengurusan media sosial, serta perkhidmatan lain yang menyenangkan pengurusan perniagaan.

Michelle Chuah, pengasas dan CEO Supermodel’s Secrets, telah berkongsi ilmu untuk meningkatkan jumlah jualan dengan menggunakan apps yang sedia ada di pasaran serta media sosial melalui influencer, dan juga untuk menaksir sambutan suatu produk mereka melalui penyelidikan persaingan.

Chuah juga telah menunjukkan beberapa video sebagai contoh trend terkini pemasaran melalui video viral, dan menerangkan kepentingan menggunakan kata kunci yang padan dalam deskripsi produk dan meta tag untuk tujuan SEO. Antara apps yang disyorkan Chuah termasuk Keyword Planner dan Keyword Search yang sedia ada di Google Adwords.

Beliau juga telah memperkenalkan program dropship syarikatnya, dan menjemput mereka yang berminat untuk menghubungi syarikatnya untuk mendaftar.

Comments

comments