E-Bazar Raya Selangor bersama Shopee

Untuk membantu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan Perniagaan Mikro di Selangor memulihkan perniagaan mereka yang terjejas akibat Wabak Covid-19, Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan inisiatif “Selangor E-Bazaar Raya” dengan kerjasama platform atas talian Shopee dengan bertujuan menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan bagi memasarkan produk secara dalam talian dan menjana sumber pendapatan mereka terutamanya di musim perayaan ini. Kerajaan Negeri Selangor telah mengorak langkah perintis dengan menganjurkan program E-Bazar Ramadan bersama dengan Grab dan kini menganjurkan Program E-Bazar Raya bersama Shopee.

Program ini juga akan dapat memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya untuk mendapat keperluan sempena musim perayaaan Aidilfitri yang akan tiba seperti kuih-muih, barangan kelengkapan rumah, pakaian dan sebagainya dengan pilihan yang banyak dan harga yang murah.

Shopee merupakan platform E-Dagang yang paling popular di Malaysia yang mana ia telah beroperasi di 7 negara di Asia Tenggara. Shopee Malaysia kini mempunyai 800 ribu penjual aktif. Selain itu, aplikasi Shopee Malaysia dimuatturun lebih daripada 20 juta kali dan laman sesawangnya dilayari oleh 29 juta pengunjung setiap bulan. Kerajaan Selangor bekerjasama dengan pihak swasta yang berwibawa dan efisien demi mencapai tujuan membantu perusahaan PKS.

Untuk menjayakan Program Selangor E-Bazar Raya bersama Shopee ini, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM 1 juta dalam bentuk baucer diskaun untuk program ini. Manakala Shopee juga akan menyalurkan  lebih daripada 1 Juta pakej dan sumber yang sepadan, ditambah lagi dengan pakej RM15 Juta yang telah diumumkan sebelum ini untuk membantu peniaga-peniaga PKS yang menjual di atas platformnya. Dengan ini, Inisiatif E-Bazar Raya Selangor dapat menawarkan insentif 3 kali ganda kepada para pembeli dan merancakkan lagi perniagaan.

Program atau kempen ini akan berjalan selama dua (2) bulan bermula dari bulan Mei hingga Jun 2020 dengan sasaran membantu 3,000 peniaga konvensional memiliki platform e-dagang disamping 2,000 peniaga e-dagang sedia ada. Mereka termasuk usahawan yang terlibat di bawah program Kerajaan Negeri Selangor seperti HIJRAH, PKNS, SITEC Online 100 dan Agro Selangor. Peniaga yang tidak mengikuti program-program Kerajaan Negeri sebelum ini juga layak untuk mengikuti program E-Bazar Raya Selangor secara percuma.

Peniaga yang berminat untuk menyertai Program E-Bazar Raya Selangor bersama Shopee boleh mendaftar secara percuma di:

 

Sepanjang program ini dijalankan, Shopee akan menyediakan satu laman istimewa (microsite) untuk mempromosikan produk-produk peniaga yang mengikuti program ini dengan menggunakan kaedah ‘livestream’, jualan mengejut (shocking sales), pemberian baucer dan penghantaran percuma bagi pembelian minimum berjumlah RM19 dan ke atas.
Saya percaya E-Bazar Raya Selangor mampu membantu usahawan mikro dan PKS di Selangor dan menyumbang kepada proses pemulihan ekonomi sekaligus merancakkan lagi program transformasi digital PKS dan perniagaan mikro di Selangor.

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor