Organiser:  Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC)
Class: Kelas EC yang ke-14
Title: Keusahawanan & Modul Perniagaan
Date: 26 Jan 2016
Time: 2PM 
Venue: SDCC

Dunia e-dagang tanpa sempadan padahalnya sarat dengan potensi yang menanti usahawan berbakat. Ada yang masuk gelanggang tanpa sebarang pengalaman, sementara ada pula yang menongkah teori bisnes tradisional – namun tetap berjaya dengan model bisnes masing-masing.

Bermula dengan kos yang lebih rendah, perniagaan atas talian sebenarnya mempunyai capaian pelanggan yang lebih luas. Lebih-lebih lagi, dengan kemudahan internet yang sedia ada, usahawan dapat berkomunikasi secara berkesan dengan pelanggan, malah mampu menjangka sambutan terhadap produknya dengan melihat reaksi spontan warga internet terhadap iklan yang dipaparkan.

Seiring langkah perubahan, Pusat Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) yang ditubuhkan kerajaan negeri Selangor telah menganjurkan siri seminar untuk menambah ilmu pengetahuan berkaitan e-dagang bagi perusahaan kecil dan sederhana. Usahawan e-dagang diundang untuk berkongsi pengalaman mereka, agar menjadi pemangkin kepada perusahaan tradisional serta para peniaga untuk membangunkan perniagaan mereka sehingga berjaya dalam perniagaan online.

Pada 26 Januari 2016, SITEC telah menampilkan tiga orang panelis, iaitu pengasas Your Scent Station, Amirul Mokhtar; pengasas Buku Fixi, Amir Muhammad dan pegawai pembangunan perniagaan MOLPay, Luqman Mohd Hata, untuk berkongsi kisah suka-duka mereka. Sesi perkongsian ini menerima sambutan hangat daripada kira-kira 40 orang hadirin, di SDCC (Selangor Digital Creative Centre), i-City Shah Alam.

Amirul Mokhtar: Jangan fikir panjang!

Amirul Mokhtar masuk gelanggang online bisnes dengan menjual minyak wangi jenama dan lokal pada tahun 2012, ketika beliau masih dalam semester pertama pengajiannya di UniKL Business School. Amirul mendapati ramai orang teringin untuk membeli minyak wangi tetapi harganya terlalu mahal.

Beliau memasuki pasaran dengan menjual produknya pada harga 5 hingga 10 ringgit lebih rendah daripada harga pasaran. Amirul secara jelas memposisi Your Scent Station untuk menyasarkan “golongan berpendapatan rendah” – iaitu mereka yang mahu pakai minyak wangi tetapi tidak mampu untuk membeli minyak wangi yang mahal.

“Harga kita kena adjust dengan kualiti,” kata Amirul dengan menekankan betapa pentingnya “kejujuran” dalam bab menentukan harga produk. “Kita tak boleh letak harga tinggi tetapi kualiti tak berapa bagus, ataupun kualiti tu bagus tetapi kita letak harga rendah,” jelas beliau. Amirul berkata penetapan harga itu penting, kerana jika harga yang ditetapkan terlalu rendah, ia boleh menjejaskan keyakinan pelanggan terhadap produknya.

Selain itu, pengurusan bisnes juga penting. Pada mulanya, Amirul tidak tahu mengira kos, dan tidak tersusun (organise) pengurusan wangnya. Beliau menggunakan akaun bank peribadi, menyukarkan dirinya untuk mengesan samada bisnesnya mendatangkan keuntungan atau tidak. “Duit masuk, tetapi tak tahu duit ke mana?” katanya. Malah, tempahan pelanggan juga berterabur, mengakibatkan penghantaran yang lewat dan kadang-kala “lupa (hantar)”.

Akhirnya Amirul menggunakan CIMB Kwik akaun, tanpa perlu membuka akaun bisnes untuk mengasingkan kemasukan pendapatannya daripada akaun peribadinya. Pengasingan sedemikian, ditambah dengan bantuan program seperti EXCEL dan aplikasi tertentu yang percuma, Amirul dapat mengendalikan bisnesnya secara tersusun. Maklumat pelanggan direkodkan dengan baik, dan beliau dapat melihat keuntungan daripada perniagaannya.

“Bila nampak tu (duit masuk), kita pun seronok. Tetapi bila kita tak tahu duit itu pergi mana, kita pun rasa macam tak bersemangatlah. Sebab penat-penat buat bisnes, tapi tak dapat untung apa,” Amirul berkongsi kegembiraannya setelah bisnesnya berada atas landasan.

Amirul tidak kedekut untuk berkongsi tips bisnesnya dengan hadirin. Bisnesnya dikira berjaya, dengan pendapatan 5 angka sebulan. Dengan pendapatan itu, beliau kini mampu membeli terus stock untuk dijual kepada pelanggan. Sebelum ini bisnesnya bermula dengan drop-ship, iaitu bergantung kepada supplier untuk menghantar produk kepada pelanggan. Dengan memiliki stock sendiri, maka Amirul mampu mengawal penghantaran produk kepada pelanggan.

Sesungguhnya dunia bisnes penuh dengan persaingan, dan Amirul terpaksa menggunakan pelbagai strategi untuk berdepan dengan cabaran itu. Apabila semakin ramai pesaing masuk ke dalam pasaran, maka harga pun menurun. Terus menurunkan harga bukan jalan keluarnya, maka Amirul menggunakan produk yang sama untuk menyasarkan “niche market”, misalnya “Set Hantaran Minyak Wangin Murah” untuk tujuan perkahwinan.

Amirul sedar bahawa mustahil untuk menjual produknya kepada semua orang, maka beliau menyasarkan golongan tertentu. Selain itu, beliau juga menekankan “packaging“, untuk menambah nilai kepada produknya. Perkhidmatan pelanggan yang memuaskan, dengan pendekatan yang mesra, kesemua ini bakal membezakan dirinya dengan pesaing yang lain.

Dengan mengumpul dan memaparkan testimoni pelanggan yang berpuas hati dengan produk mereka, Amirul mampu meyakinkan lebih ramai pelanggan untuk membeli produk dengannya.

Social proof ni contohnya, kita pergilah mana-mana Facebook page, kita tengok kosong saje, gambarnya banyak, produknya banyak. Tapi tak ada komen, tak ada orang Like, nak beli ya? Takkan, takutkan? Mengapa tak beli? Sebab kita tak trust.” Amirul berkata, seandainya produk tersebut memperolehi banyak like dan share, maka ia akan meyakinkan lebih ramai orang untuk berurus-niaga dengan kita.

Amirul pada asalnya seorang yang banyak berfikir sebelum memulakan sesuatu, sehingga beliau berjumpa dengan co-founder Your Scent Station yang bersikap “buat sajelah”. “Just do it,” nasihat Amirul kepada hadirin, “Jangan fikir panjang, jangan fikir nak planning, dua tiga tahun punya planning dah macam CEO, padahal nak jual tudung aje, jual karipap aje.”

“Jual aje, sebab lagi cepat kita bertindak…memanglah kita akan buat mistake (kesilapan), tetapi mistake itu bagus. Kita belajar dari kesilapan. Lebih banyak kesilapan yang dilakukan, lebih banyak kita belajar…” simpulnya.

Amir Muhammad: Menterbalikkan teori bisnes

Buku Fixi sebenarnya cubaan bisnes kedua Amir Muhammad, selepas cubaan pertamanya Matahari Books pada tahun 2007. Amir mendakwa dirinya “bukan seorang businessman yang bagus”, kerana kadang-kala menentang teori bisnes daripada usahawan lain.

“Contohnya, yang saya baca, salah seorang usahawan kata, ‘kalau nak buat bisnes, jangan buat bisnes berdasarkan minat. Buat bisnes berdasarkan apa yang boleh dapat duit.’ Dari itu saya dah gagal. Sebab saya hanya boleh buat kerja kalau saya minat. So kebetulan saya minat buku, saya pun buatlah syarikat buku,” kata Amir.

Amir mengimbas bagaimana idea untuk mengasaskan Buku Fixi itu muncul pada tahun 2011. Beliau pergi ke kedai buku dan mendapati 90% buku di rak novel Melayu itu mengandungi tajuk cinta, atau kasih, atau rindu. “So bila saya tengok semua itu, saya rasa saya nak muntah. Sebab dia tak melambangkan citarasa saya. Saya rasa saya orang muda, saya pergi sana saya tak akan baca novel Melayu. Sebab minat, saya pun mulakan syarikat ini dengan menghantar mesej di Facebook, siapa nak tulis novel Melayu tetapi bukan genre cinta, tetapi aksi, thriller, horror … macam-macam-lah!”

Tiga buku pertama yang diterbitkan pada tahun 2011 ditulis oleh penulis baru, dan tidak dikenali Amir Muhammad sebelumnya. Amir membawa buku itu kepada pengedar, tetapi sekali lagi berdepan dengan rintangan apabila pengedar dengan stereotaipnya bertanggapan bahawa tiada pembaca yang berminat dengan novel yang ditulis lelaki, dan orang Melayu hanya berminat dengan tiga tema sahaja, cinta, agama dan masakan.

Akhirnya beliau cuba dengan pengedar buku Gerak Budaya, yang lebih terkenal dengan penerbitan buku politik dan tiada pengalaman untuk mengedar buku novel Melayu. Permulaannya perlahan, tetapi ia memperlihatkan perkembangan selepas itu.

Amir memberi contoh ketika Buku Fixi menyertai Pesta Buku KL pada tahun 2011, mereka hanya mencatat kutipan RM14,500. Angka ini melonjak berkali ganda dalam tempoh empat tahun, dengan kutipan RM770 ribu pada tahun 2015.

Bukan mudah apabila Buku Fixi cuba disekat oleh pengedar dan penerbit yang dengki dengan mereka, menyebarkan fitnah bahawa buku terbitan Fixi boleh mengundang masalah sosial. Amir menerokai bisnes online dan menghadiri event untuk menembus pasaran.

Pada tahun 2011, jualan buku di kedai mencakupi 90%, dan jualan online hanya mencatat 5%. “Tapi tahun lepas, 25% (jualan online). Dan ini agak menakjubkan sebab selama ini kita anggap orang nak beli buku dia tak akan beli online. Dia orang nak belek, nak tengok, nak bau kertas…lebih-lebih lagi masa tahun 2011 tak ada orang yang percaya online, apatah lagi buku,” kata Amir.

Amir bersetuju dengan Amirul bahawa perkongsian sosial itu penting, dan ia lebih berharga seandainya kawan yang dikenali mengesyorkan satu produk kepada anda daripada iklan yang dipaparkan di billboard tepi jalan. “Itu (iklan billboard) sekadar orang kenal brand. Tapi nak orang percaya, kena ada kawan yang bagitahu,” kata Amir sambil menekankan “element of trust“.

Sebelum mengakhiri sesi perkongsiannya, Amir berkata, “Apa yang bagus dengan online, ialah cash tu dapat cepat, berbanding dengan beberapa bisnes seperti buku.” Beliau menjelaskan kaedah pengedaran buku tradisional yang gagal memperlihatkan keadaan sebenar kelarisan buku itu. Namun dengan online, tempahan dibuat berdasarkan stock, dan penerbit melihat sendiri kelarisan buku itu yang sebenar.

Malah, hanya dengan mengumumkan penerbitan buku baru dengan cover-nya di media sosial, reaksi spontan daripada warga internet telah meramalkan samada buku itu laris atau tidak. Sebagai bekas pembikin filem, Amir Muhammad mendakwa dirinya lebih suka menerbit buku, kerana ia tidak melibatkan team-work. Hanya dengan sembilan orang staf tanpa pejabat, bisnes Buku Fixi berjalan dan berkembang sebagaimana apa yang ada sekarang.

Luqman Mohd Hata: 205 juta pengguna internet di Asia Tenggara

Pegawai pembangunan perniagaan MOLPay, Luqman Mohd Hata memberi gambaran betapa besarnya potensi dunia online yang menanti usahawan, dengan angka 205 juta pengguna internet di Asia Tenggara. Di Malaysia, 7 juta pengguna internet membuat pembelian atas talian setiap bulan, melalui penempahan tiket, hotel dan sebagainya, dan angka ini semakin bertambah.

Luqman menerangkan kebaikan perniagaan online, dengan kos permulaan yang lebih rendah, kerana tidak perlu menyewa kedai dan hanya perlu mendapatkan domain dan server. Apatah lagi kedai hanya terbatas kepada pelanggan di tempat tertentu sahaja, sementara laman sesawang terdedah kepada seluruh dunia dengan capaian rangkaian yang lebih luar. Malah ia mampu beroperasi 24 jam sehari, dan tidak terikat dengan waktu pejabat.

Sebagai wakil MOLPay, sebuah syarikat Gerbang Pembayaran (Payment Gateway), Luqman juga menjelaskan peranan gerbang pembayaran untuk menghubungkan laman sesawang dengan perkhidmatan bank dan kad kredit, agar pelanggan boleh membuat bayaran atas talian. Luqman berkata, perkhidmatan gerbang pembayaran adalah kaedah yang pantas, teratur dan selamat untuk menguruskan pembayaran pelanggan. Pelanggan tidak perlu bersusah payah ke bank untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit tunai, malah tidak perlu meninggalkan laman sesawang untuk membuat pembayaran.

Menurut Luqman, pelanggan hanya perlu memilih produk atau perkhidmatan yang ingin dibeli dan kemudian memasukkan maklumat pembelian. Maklumat tersebut akan dipanjangkan kepada gerbang pembayaran. Gerbang pembayaran sebagai “terminal” akan menyambungkan kepada saluran pembayaran yang diingini, misalnya kad kredit atau bank. Setelah pembelian diberi kebenaran, maka penjual boleh membuat penghantaran produk atau perkhidmatan. Akhir sekali, data transaksi yang disahkan bank dan jumlah yang diperolehi daripada jualan akan dimasukkan ke dalam akaun bank peniaga, setelah ditolak kos transaksi.

“MOLPay adalah satu-satunya payment gateway yang mempunyai rangkaian pembayaran menggunakan kedai Seven-Eleven,” kata Luqman. Dengan kata lain, pelanggan yang tidak mempunyai akaun bank atau kad kredit boleh membuat pembayaran di mana-mana cawangan kedai Seven-Eleven yang berdekatan. Setelah pembayaran dikesan melalui sistem rangkaian Seven-Eleven, maka MOLPay akan maklumkan kepada peniaga online bahawa pembayaran telah dibuat.

Comments

comments

We don't want you to miss out.

Be the first to get up-to-date news, updates, promotions, and  even exclusive invites when you subscribe to our FREE newsletter!

SUCCESS! Now sit back, relax and enjoy our site!